Sunday, May 2, 2010

'Per vaginal bleeding'

Subhanallah...Maha suci Allah dari segala sifat kekurangan.

Hari ini post-call.

Satu malam yang indah berlalu.Keindahan yang punya makna tersirat.Malam yang hening dan agak sunyi berbanding malam-malam oncall sebelumnya.Penyaman udara yang sejuk mahu sahaja membuatkan diri terasa beku.Pesakit yang datang mendapatkan rawatan bermula jam 10 malam mungkin tidak sampai 50 orang.Bolehlah melelapkan mata buat seketika.

Lebih kurang jam 3 pagi, muncul seorang wanita ditolak dengan kerusi roda masuk ke zon kuning.saat beliau ditolak ke katil hujung , hati sudah dapat mengagak " tentu kes 'abortion' ".

Umurnya masih muda,tubuhnya juga kelihatan bertenaga.

" Akak kandungan ke berapa ini ya ? " soal ummu.

" kedua....akak tak ingat tarikh akhir haid ( last menstrual period ), jadi akak tak berapa pasti kandungan ini berapa minggu " balasnya.

" akak datang sebab pendarahan ya ? " soalan-soalan terus ditanya untuk mengetahui diagnosa pesakit.


" ya...hampir separuh kain sarung basah dengan darah,ada juga sakit perut sikit-sikit.Saya gugur ya doktor? " tanyanya penuh raut kerisauan.Dahinya sedikit berkerut.

" belum pasti lagi ya kak, kita scan dulu dan kita cek jalan ya ".Moga jawapan ummu boleh memberi sedikit harapan padanya.

Sewaktu perutnya discan dengan mesin ultrasound, ummu dah boleh mengagak beliau kemungkinan besar telah mengalami keguguran.Nadi jantung bayinya sudah tidak kelihatan.kantungnya juga sudah nampak abnormal.pemeriksaan diteruskan dengan memeriksa 'vagina.

" staff nurse tolong suluh lampu ya."

Saat ummu melakukan ujian 'perspeculum' ke atasnya, kelihatan fetus (bayi)sebesar jari kelingking keluar melalui speculum bersama darah merah.Justeru sahlah beliau telah gugur.kemudian terdengar staff nurse bersuara;

" doktor...itu apa? dia twin la...aha,betul.Tu..ada sorang lagi keluar "

Terkejut juga ummu .Disangka hanya seorang, single pregnancy, rupa-rupanya Allah mengujinya dengan dua janin.Subhanallah, kasihan melihatnya.Mujurlah ibunya tidak apa-apa bila melihat dua bayinya yang sudah cukup lengkap tangan dan kaki terkumpul dalam 'kidney dish' bersama darah.Tidak mengapa akak... Allah itu maha pemurah.Pohon lagi doa untuk zuriat akan datang.Umur masih muda.



Lihatlah betapa kerdilnya kita.Dulu kita hanya sebesar jari kelingking,kini Allah telah anugerakan tubuh badan yang sihat juga akal untuk berfikir.Amat tidak berhati perut kita jika perintaNya diabaikan,dan melakukan pula perkara-perkara yang mengundang kemurkaanNya.

Sedih hati ibu bila mengetahui anak keguguran...sedih lagi hati ummu saat merawat pesakit yang datang ke hospital kerana komplikasi menggugurkan anak secara sengaja tanpa ada apa-apa keuzuran syar'ie yang membenarkan 'pembunuhan' anak kecil dalam perutnya.Firman Allah s.w.t :

" Jangan sekali-kali kamu membunuh anak-anak kamu karana takutkan kemiskinan kerana kami yang memberi rezeki kepada mereka dan juga kepada kamu, sesungguhnya membunuh mereka adalah dosa kesalahan yang besar " { Al-Isra' : 31 }

Beranalah beramai-ramai kerana Nabi kita berbangga dan bergembira dengan jumlah ummatnya yang ramai di hari kiamat, seperti hadith riwayat Abu Dawud, Nasa'i dan Hakim ;

" Nikahilah perempuan yang mencintai lagi subur ( dengan nasab yang banyak melahirkan anak ) sebab aku bangga dengan banyaknya pengikut sebab kalian sebagai umat kelak di hari akhir "